Bengkel Pengukuhan Organisasi FK Berjaya Mengeratkan Hubungan Staf

Bengkel Pengukuhan Organisasi FK Berjaya Mengeratkan Hubungan Staf

Raub, 8 September 2024 - Fakulti Komputeran (FK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya mengadakan Bengkel Pengukuhan Organisasi FK selama tiga hari, bermula pada 6 September sehingga 8 September 2024, di Tanah Aina Farrah Soraya Eco-Resort, Raub, Pahang. Bengkel ini disertai oleh seramai 96 orang staf fakulti, dengan objektif utama untuk memperkukuh hubungan serta semangat kebersamaan di kalangan mereka.

Menurut maklum balas positif yang diterima daripada peserta, bengkel ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya dalam mengeratkan hubungan antara staf dan meningkatkan semangat kebersamaan dalam mencapai visi dan misi fakulti. Aktiviti-aktiviti yang disusun bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat kerjasama tetapi juga menyuburkan kembali nilai-nilai murni di kalangan staf.

Selain sesi motivasi dan kuliah selepas solat berjemaah, bengkel ini turut dipenuhi dengan aktiviti luar yang menyeronokkan dan mencabar. Para peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti jungle trekking, mandi sungai, flying fox, dan morning walk yang menyegarkan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta, tetapi juga menguatkan lagi ikatan kerjasama serta kesefahaman antara mereka.

Aktiviti Tadabbur Al-Quran yang diadakan juga berjaya mengaitkan urusan kerja seharian di fakulti dengan ajaran-ajaran suci Al-Quran, membimbing staf untuk lebih cermat dan berintegriti dalam menyelesaikan tugasan harian mereka. Para peserta turut menyatakan rasa insaf dan kesedaran melalui kuliah agama yang mengingatkan mereka tentang pentingnya keselarasan antara amalan harian dan ajaran Islam.

Secara keseluruhannya, Bengkel Pengukuhan Organisasi FK ini bukan sahaja berjaya membina semangat kerjasama yang lebih erat di kalangan staf Fakulti Komputeran UMPSA, tetapi juga memberikan pengalaman rohani dan fizikal yang bermanfaat kepada semua peserta.

Sumber: Kelab Sukan & Kebajikan Fakulti Komputeran (KESUKOMP)

 


Print   Email