Lawatan Tapak Naib Canselor UMPSA ke Projek Usang di Fakulti Komputeran
17 Mac 2025, Pekan - Naib Canselor (NC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias telah mengadakan lawatan tapak ke beberapa projek usang di Fakulti Komputeran (FK) bagi menilai perkembangan serta penggunaan peruntukan Bajet Usang RMK-12 RP4. Lawatan pertama NC adalah ke Makmal Cisco 3 di mana 27 unit switch dan 27 unit router telah dibeli menggunakan peruntukan tersebut untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) infrastruktur rangkaian di Fakulti Komputeran (FK).
Seterusnya, NC menuju ke Bengkel Structure Cabling untuk melihat demonstrasi penggunaan alat cable analyser (1 unit) dan splicer (3 unit). Perolehan peralatan ini, yang berjumlah RM360,000, bertujuan untuk memudahkan proses PdP dalam subjek berkaitan data komunikasi.
Lawatan diteruskan ke Bilik Server yang terletak di Pejabat Teknikal, di mana dua unit server baru telah dibeli untuk menggantikan server lama yang sudah usang. Pembelian server ini diharapkan dapat meningkatkan prestasi dan keberkesanan pengurusan data serta sistem di FK, selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat.
Selain itu, NC turut melawat kafetaria, Bilik Teater Komputer, dan beberapa makmal komputer di FK. Lawatan ini memberi peluang kepada NC untuk menilai keadaan kemudahan dan infrastruktur yang ada, di samping merancang langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi para pelajar dan staf di FK.