Fakulti Komputeran Raih Tempat Ketiga Anugerah Graduate Employment 2024
GAMBANG, 16 April 2025 – Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Anugerah Fakulti Graduate Employment (GE) Terbaik 2024 yang diadakan bersempena Malam Anugerah Mercu Sanjung UMPSA 2024, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara fakulti terbaik dalam menyediakan graduan yang bersedia untuk pasaran kerja.
![]() |
Anugerah Fakulti Graduate Employment (GE) Terbaik ini merupakan pengiktirafan kepada fakulti-fakulti yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kadar kebolehpasaran graduan, berdasarkan peratusan pelajar pra-siswazah yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi.
Fakulti Komputeran UMPSA mencatat indeks GE yang membanggakan sebanyak 98.2%, menjadikannya antara yang tertinggi dalam kalangan semua fakulti di UMPSA. Pencapaian ini mencerminkan komitmen fakulti dalam menyediakan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri serta usaha berterusan dalam memperkasakan kemahiran insaniah dan teknikal pelajar.
Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Adzhar bin Kamaludin, berkata bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pensyarah, staf sokongan, pelajar serta pihak industri yang sentiasa menyokong inisiatif fakulti dalam membangunkan kebolehpasaran graduan.
“Pencapaian ini memberi motivasi kepada kami untuk terus memperkukuh program akademik, memperluas jaringan industri, dan menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada pelajar agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kerjaya sebenar,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan penyelaras GE fakulti yang diketuai oleh Ts. Dr. Salwana binti Mohamad @ Asmara di atas dedikasi yang ditunjukkan dalam mengumpul data-data dan penyediaan laporan GE kepada Universiti.
![]() |
![]() |
Fakulti Komputeran UMPSA akan terus komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah mempunyai nilai tambah yang tinggi selari dengan kehendak Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus, Fakulti Komputeran