Tiga Syarikat Pemula Fakulti Komputeran Cipta Kejayaan di DICE 4.0
PUTRAJAYA, 19 November 2026 – Keupayaan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam menggabungkan kreativiti, teknologi dan keusahawanan digital membuahkan kejayaan apabila tiga syarikat pemula mahasiswa Fakulti Komputeran berjaya mengetengahkan produk inovasi masing-masing dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026.
Tiga syarikat pemula tersebut ialah TAKA Creative Studio, SYNEXIS DIGITAL dan ATMA DEV SOLUTION yang membawa projek berteraskan permainan digital, animasi tiga dimensi (3D) dan teknologi realiti maya (VR). Penyertaan mereka turut mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
Projek RENTAS: Pahang Heritage Grandprix oleh TAKA Creative Studio mengetengahkan permainan mudah alih berkonsepkan perlumbaan go-kart yang menggabungkan elemen warisan dan lokasi ikonik negeri Pahang seperti Bandar Diraja Pekan dan Tasik Chini. Projek ini dibangunkan oleh Muhammad Fareezul Hafiz Mohd Nasir, Amar Razin Hamidon, Zulakmal Danish Zulfadzli dan Lim Kah Zheng, dengan bimbingan Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar binti Zulkifli.
Sementara itu, Jejak Warisan: Laksa Gebok oleh SYNEXIS DIGITAL merupakan animasi naratif pendek 3D berkonsepkan Low Poly yang membawa penonton mengenali sejarah dan keunikan makanan tradisional Pahang. Pembangunan projek ini melibatkan penyelidikan di Muzium Pahang serta temu bual bersama pengusaha Laksa Gebok Aki Pian bagi mendapatkan maklumat berkaitan sejarah, teknik pembuatan laksa dan penggunaan peralatan tradisional gebok. Projek ini turut mendapat kerjasama industri daripada Laksa Gebok Aki Pian.
Kumpulan SYNEXIS DIGITAL terdiri daripada Ahmad Nadim Muhammad Hairi, Muhammad Azad Zuhaily Mohd Azli, Muhammad Ilyas I’mran dan Muhammad Adwa’ Ikhwan Mohd Nizam, dengan bimbingan Ts. Siti Normaziah Ihsan.
Turut diketengahkan ialah VR Warisan Kepahlawanan – Mat Kilau oleh ATMA DEV SOLUTION yang menawarkan pengalaman pembelajaran sejarah secara imersif melalui teknologi realiti maya dan permainan 3D. Pengguna berpeluang meneroka persekitaran kampung tradisional Melayu, mempelajari seni mempertahankan diri silat serta menghayati perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau.
Ketiga-tiga projek ini memperlihatkan potensi teknologi digital sebagai medium kreatif untuk mendokumentasikan dan memperkenalkan warisan tempatan kepada generasi muda melalui pengalaman yang lebih interaktif dan menarik.
Kejayaan syarikat pemula mahasiswa ini turut mencerminkan usaha UMPSA dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan pelajar dengan menggalakkan mahasiswa bukan sahaja menghasilkan inovasi, malah meneroka peluang membangunkan produk, membina jenama, menjalin kerjasama industri dan mengembangkan potensi pengkomersialan produk digital.
Pencapaian ini juga menyerlahkan potensi program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Multimedia) dengan Kepujian, UMPSA dalam melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam bidang pembangunan permainan digital, animasi, aplikasi multimedia serta teknologi interaktif.
Melalui penguasaan kemahiran teknikal dan kreatif, mahasiswa berpeluang menghasilkan produk digital yang bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat dan industri, malah menjadi asas kepada pembentukan syarikat pemula serta penerokaan kerjaya sebagai usahawan teknologi dalam industri kreatif digital.
Majlis penutupan DICE 4.0 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri barisan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi serta pengurusan tertinggi UMPSA.
Sumber: Ts. Siti Normaziah Mohd Ihsan, Pensyarah Fakulti Komputeran
{gallery}dice4{/gallery}
