Fakulti Komputeran UMPSA Selesai Menjayakan Sesi Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh MQA bagi Program Sarjana Sains (Penyelidikan)
PEKAN, 2 September 2026 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menyempurnakan Sesi Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh (Full Accreditation - FA) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program Sarjana Sains (MQA/FA 19543). Sesi penilaian secara bersemuka ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 1 September hingga 2 September 2026 bertempat di Fakulti Komputeran, UMPSA Kampus Pekan. Sesi penilaian tersebut diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Zulkefli bin Mansor selaku Pengerusi Ahli Panel Penilai MQA, bersama Ts. Dr. Razulaimi bin Razali selaku Panel penilai MQA serta pegawai MQA, Encik Abdul Rahman bin Laiyak.
Majlis Pembukaan Sesi Lawatan Akreditasi yang diadakan pada 1 September 2026 telah disempurnakan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti dan fakulti. Turut hadir memberi sokongan ialah Prof. Ts. Dr. Kamal bin Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Dr. Mohd Rashid bin Ab Hamid, Pengarah Pusat Akreditasi Akademik; Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Juliawati binti Alias, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Akademik; serta Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Mohmad Kahar, Dekan Fakulti Komputeran.
Sepanjang lawatan dua hari tersebut, panel penilai telah menjalankan serangkaian aktiviti penilaian yang menyeluruh. Ini merangkumi:
- Perjumpaan Bersama Pentadbir dan Akademik: Perbincangan bersama Ketua Jabatan Pascasiswazah, Ts. Dr. Nurzety Aqtar Ahmad Azuan; Penyelaras Program Pascasiswazah Penyelidikan, Ts. Dr. Nursyafiqah Mohd Nafis; pensyarah kursus, serta barisan penyelia.
- Interaksi Bersama Pelajar & Alumni: Sesi perjumpaan dan maklum balas bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Postgraduate Association (PGA), serta kohort pelajar aktif dan alumni/graduan program Sarjana Penyelidikan.
- Semakan Dokumen & Kemudahan: Semakan komprehensif ke atas senarai semak dokumen akademik dan jaminan kualiti. Sesi lawatan fizikal turut diadakan ke kemudahan sokongan penyelidikan termasuk Makmal Post-Graduate, Postgraduate Lounge dan Perpustakaan UMPSA Kampus Pekan.
Sesi lawatan diakhiri dengan Sesi Penutup pada petang 2 September 2026 di Bilik Mesyuarat Al-Razi. Dalam sesi tersebut, pihak APP MQA telah membentangkan rumusan dapatan lawatan serta cadangan penambahbaikan kepada pihak pengurusan fakulti dan universiti. Pengurusan Fakulti Komputeran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli panel penilai MQA, Pusat Akreditasi Akademik, Pusat Jaminan Kualiti Akademik, barisan pensyarah, staf sokongan, serta pelajar yang telah memberikan komitmen padu sepanjang sesi penilaian akreditasi ini berlangsung.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
