Kejayaan iCE-CInno 2026 Pemangkin Inovasi Teknologi Masa Hadapan
PEKAN, 22 Oktober 2026 - International Competition and Exhibition on Computing Innovation (iCE-CInno 2026) yang telah bermula pada Rabu 20 Mei 2026 telah melabuhkan tirainya secara rasmi menerusi Majlis Penutup yang berlangsung dengan penuh gemilang pada hari Khamis 22 Oktober 2026. Program berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Teknologi Maklumat dan Komputer (PETAKOM), Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berteraskan tema "Accelerating Digital Revolution and Innovation through Artificial Intelligence", yang menekankan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memacu revolusi digital serta menyemarakkan budaya inovasi dan penyelidikan. Majlis penutupans rasmi pertandingan ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Razali bin Daud, Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), UMPSA.
Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang akademik, dengan jumlah keseluruhan 156 kumpulan bertanding. Kategori sekolah rendah mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 72 kumpulan, diikuti oleh kategori sekolah menengah dengan 58 kumpulan. Bagi peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak 20 kumpulan daripada peringkat ijazah sarjana muda (undergraduate) dan 2 kumpulan daripada peringkat pascasiswazah (postgraduate) turut serta, di samping 4 kumpulan yang beraksi dalam kategori terbuka (open category), di mana keseluruhan kategori ini turut merangkumi penyertaan antarabangsa (international).
Kualiti projek yang dipertandingkan adalah amat tinggi, terbukti melalui pencapaian cemerlang para peserta yang diumumkan pada majlis penutupan tersebut. Bagi kategori sekolah rendah, kejayaan merangkul 44 pingat emas, 27 pingat perak, dan 1 pingat gangsa berjaya dicapai. Kategori sekolah menengah pula membawa pulang 24 pingat emas, 33 pingat perak, dan 1 pingat gangsa. Dalam pada itu, peserta undergraduate meraih 11 pingat emas dan 9 pingat perak, manakala kategori postgraduate memenangi 1 pingat emas dan 1 pingat perak. Kategori terbuka turut menyerlah dengan pencapaian 3 pingat emas dan 1 pingat perak.
Kemuncak majlis penutup hari ini menyaksikan penganugerahan Best of the Best Award bagi setiap kategori utama. Bagi kategori sekolah rendah, SK Seri Melati diumumkan sebagai pemenang anugerah tertinggi tersebut menerusi projek berinovasi tinggi bertajuk "Prime Monitoring Technology 2.0". Sementara itu, anugerah Best of the Best bagi kategori sekolah menengah disandang oleh SMK Indera Shahbandar melalui projek canggih berasaskan Internet Benda (IoT) bertajuk "Aegis Rescue Diffuser: An Iot-Based Intelligent Early Fire Detection And Emergency Response System For Life-Saving Protection".
![]() |
![]() |
Bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi dan Terbuka (Others), anugerah berprestij tersebut berjaya diraih oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi projek penyelidikan berasaskan kecerdasan buatan yang bertajuk "Dental Abnormality Detection And Automated Radiology Report Generation From Panoramic Radiographs". Kejayaan projek-projek ini membuktikan keupayaan para peserta dalam menterjemahkan tema kejohanan kepada solusi dunia sebenar yang memberi impak positif kepada masyarakat.
![]() |
Secara keseluruhannya, penganjuran iCE-CInno 2026 yang diakhiri dengan majlis penutup pada hari ini bukan sahaja berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sains komputer dan kecerdasan buatan, malah membuka ruang kolaborasi antara sekolah, universiti, dan industri. Program ini sekali gus mengukuhkan peranan UMPSA sebagai pemangkin utama dalam mempercepatkan revolusi digital serta memajukan teknologi negara ke peringkat antarabangsa.
Sumber: Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajuddin, Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran



