FK UMPSA Anjur Sesi Perkongsian Ilmu “Belajar Bijak dengan AI” Bersama Pelajar SMK Temin
PEKAN, 19 Oktober 2026 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, Jerantut, Pahang, melibatkan seramai 80 orang pelajar Tingkatan 5 dan lapan orang guru pengiring.
Sempena lawatan tersebut, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “Belajar Bijak dengan AI” telah diadakan pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Sesi ini disampaikan oleh En. Aziman Abdullah, Pensyarah Fakulti Komputeran, UMPSA.
Sesi perkongsian ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang penggunaan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam proses pembelajaran serta bagaimana teknologi tersebut dapat dimanfaatkan untuk membantu mereka belajar dengan lebih berkesan.
Melalui perkongsian ini, para pelajar berpeluang menambah pengetahuan mengenai potensi AI dalam pendidikan dan kepentingan menggunakan teknologi secara bijak serta bertanggungjawab, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi digital yang semakin pesat.
Penganjuran sesi ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan minat para pelajar terhadap bidang teknologi dan pengkomputeran, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan pada masa hadapan.
Sumber: Puan Aidel Fitri Windra, Setiausaha, Fakulti Komputeran
