Official Website    

News & Gallery

Fakulti Komputeran Perkukuh Kualiti Kurikulum Melalui Mesyuarat Penilaian dan Penambahbaikan Bersama Penilai Luar, Panel Industri dan Penasihat Akademik

Fakulti Komputeran Perkukuh Kualiti Kurikulum Melalui Mesyuarat Penilaian dan Penambahbaikan Bersama Penilai Luar, Panel Industri dan Penasihat Akademik

KUALA LUMPUR, 14 September 2026 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh usaha memastikan kualiti dan kerelevanan program akademiknya melalui pelaksanaan Mesyuarat Penilaian dan Penambahbaikan Kurikulum Program Diploma dan Sarjana Muda bersama Penilai Luar, Panel Penasihat Industri dan Penasihat Akademik yang berlangsung pada 14 hingga 15 September 2026 di UMPSA Kampus Kuala Lumpur.

Program ini melibatkan sesi penilaian dan perbincangan bagi empat program akademik Fakulti Komputeran, iaitu Diploma Sains Komputer (DRC), Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Multimedia) dengan Kepujian (BCM), Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian (BCN) serta Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian (BCS).

Pelaksanaan mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FK dalam memastikan program akademik sentiasa relevan dengan perkembangan semasa bidang pengajian, keperluan industri dan pasaran pekerjaan serta memenuhi keperluan standard akademik dan badan akreditasi berkaitan.

Sepanjang dua hari program, sesi perbincangan memberi tumpuan kepada struktur program, Educational Programme Objectives (PEO), Programme Outcomes (PO), kandungan dan struktur kursus serta perancangan pengajaran dan pembelajaran. Turut diberi perhatian ialah semakan kaedah penilaian, contoh soalan penilaian berterusan dan peperiksaan akhir serta skema jawapan bagi memastikan pelaksanaan kurikulum sentiasa menepati hasil pembelajaran yang ditetapkan.

Penglibatan Penilai Luar, Panel Penasihat Industri dan Penasihat Akademik turut memberikan nilai tambah kepada proses penambahbaikan kurikulum melalui pandangan dan cadangan daripada perspektif akademik serta industri. Input yang diperoleh dapat membantu fakulti mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai pengetahuan, kemahiran serta kompetensi yang selari dengan keperluan semasa.

Mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada penyediaan dokumentasi berkaitan penilaian dan akreditasi program, termasuk laporan semakan program berdasarkan keperluan badan akreditasi yang berkaitan.

Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Mohmad Kahar, bersama Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), ketua-ketua jabatan serta penyelaras program turut terlibat dalam sesi perbincangan dan pemantauan sepanjang pelaksanaan program.

Komitmen berterusan Fakulti Komputeran dalam melibatkan pihak luar dalam proses semakan kurikulum mencerminkan usaha fakulti untuk memperkukuh budaya penambahbaikan berterusan serta memastikan program akademik yang ditawarkan kekal kompetitif, relevan dan memenuhi keperluan pemegang taruh.

Melalui kerjasama strategik antara pihak akademik, industri dan penilai luar, FK optimis usaha penambahbaikan ini dapat memperkukuh kualiti penyampaian pendidikan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UMPSA dalam mendepani keperluan bidang teknologi dan komputeran yang sentiasa berkembang.

Sumber: Puan Intan Azwani binti Azmi, Eksekutif Kanan, Fakulti Komputeran

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my