Bengkel Pelataan KPI UMPSA30 Fakulti Komputeran Diserikan dengan Kemeriahan Aidilfitri
PEKAN, 14 April 2026 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pelataan KPI Perancangan Strategik UMPSA30 2026. Program ini telah berlangsung di Bilik Inkubator, Aras 5 Fakulti Komputeran dan melibatkan penyertaan staf akademik, staf pentadbiran dan staf teknikal fakulti.
Bengkel ini diadakan sebagai langkah proaktif fakulti bagi menyelaraskan serta memperkasakan sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Inisiatif Perancangan Strategik UMPSA30 yang disasarkan kepada fakulti untuk tahun 2026. Ia bermatlamat untuk memastikan semua staf Fakulti Komputeran memahami dengan jelas hala tuju universiti. Selain itu, ia turut menjadi platform perbincangan strategik untuk menambah baik pelan tindakan dan merangka pelataan KPI kepada semua peringkat staf dan jabatan.
Menariknya, penganjuran bengkel pada tahun ini turut disekalikan dengan acara Jamuan Raya "Potluck" Fakulti Komputeran bagi meraikan kedatangan bulan Syawal. Inisiatif serampang dua mata ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pemahaman serta penyelarasan tugas di kalangan staf yang hadir bagi menyokong inisiatif fakulti, malah turut mengeratkan ukhuwah dan semangat kerja berpasukan di antara barisan pengurusan dan staf.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
