Gotong-royong Penyediaan Iftar Masjid UMPSA Pekan
PEKAN, 17 Mac 2025 – Suasana harmoni dan kerjasama jelas terpancar di Masjid Al-Jazari, Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA) Pekan hari ini apabila warga Fakulti Komputeran bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa untuk jemaah masjid.
Sebagai sebahagian daripada tradisi masjid yang menyediakan hidangan berbuka setiap hari sepanjang Ramadan, giliran Fakulti Komputeran kali ini menjadi lebih istimewa kerana ia disusuli dengan majlis perasmian masjid baharu UMPSA Pekan Masjid Al-Jazari. Perasmian ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam satu majlis penuh simbolik yang turut dihadiri oleh warga universiti dan masyarakat setempat.
Gotong-royong penyediaan makanan bermula seawal 8.30 pagi, dengan para sukarelawan fakulti bekerjasama memotong bawang, kentang, serta bahan-bahan lain sebelum sesi memasak dijalankan. Juadah berbuka kemudian disediakan dan diedarkan kepada jemaah. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk semangat ukhuwah dalam kalangan peserta, tetapi juga menyumbang kepada keberkatan Ramadan dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Majlis diakhiri dengan sesi berbuka puasa secara berjemaah, menandakan gabungan nilai kebersamaan, keikhlasan, dan keberkatan di bulan yang mulia ini.