Official Website    

News & Gallery

IMPACT 360 Perkasa Kemahiran Digital Pelajar Sekolah Melalui Pendedahan Kecerdasan Buatan dan Teknologi

IMPACT 360 Perkasa Kemahiran Digital Pelajar Sekolah Melalui Pendedahan Kecerdasan Buatan dan Teknologi

PEKAN, 18 Julai 2026 – Seramai 137 pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar daerah Pekan dan Kuantan telah menyertai program IMPACT 360 yang berlangsung di Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan. Program anjuran Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) ini bertujuan memperkenalkan pelajar kepada dunia teknologi dan pengkomputeran melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif serta menyeronokkan.

Sepanjang program berlangsung, pengisian telah dibahagikan mengikut kategori peserta bagi memastikan setiap pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Bagi pelajar sekolah rendah, mereka didedahkan kepada penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) melalui aktiviti interaktif yang memperkenalkan konsep asas AI serta bagaimana teknologi tersebut digunakan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, pelajar sekolah menengah mengikuti tiga bengkel utama yang memberi pendedahan kepada kemahiran digital masa kini, iaitu Python Programming, Game Development, dan Internet of Things (IoT). Melalui bengkel-bengkel ini, para peserta berpeluang mempelajari asas pengaturcaraan menggunakan Python, memahami proses pembangunan permainan digital serta meneroka konsep IoT melalui aktiviti amali yang dikendalikan oleh fasilitator daripada PETAKOM.

Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan peserta terhadap bidang teknologi, malah turut memupuk kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Pengalaman pembelajaran secara praktikal ini diharapkan dapat membangkitkan minat pelajar untuk meneroka bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada masa hadapan.

Program IMPACT 360 turut menjadi platform kepada mahasiswa PETAKOM untuk berkongsi ilmu dan menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pendidikan teknologi. Inisiatif seperti ini selari dengan usaha UMPSA dalam melahirkan masyarakat yang celik digital serta bersedia menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0 dan transformasi digital negara.

Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi medium yang memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mendalami bidang teknologi dan inovasi.

Sumber: PETAKOM

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my