Official Website    

News & Gallery

JAY 2.0 Himpunkan Belia Jepun-ASEAN dan UMPSA @ FK Perkukuh Jaringan Antarabangsa

TEMERLOH, 14 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui penglibatan aktif dalam Japan–ASEAN Youth Program (JAY) 2.0 2026 yang menghimpunkan belia dari Jepun, negara-negara ASEAN dan institusi pengajian tinggi tempatan.

Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Kampungstay Desa Murni, Temerloh, Taman Negara dan Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM) dengan kerjasama Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN–Jepun Abad Ke-21 (PAMAJA) sempena kempen Visit Malaysia 2026.

Lebih 120 peserta telah menyertai program ini yang melibatkan delegasi dari negara Jepun, negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Cambodia, dan para pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan belia, pertukaran budaya, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pelancongan komuniti dan pembinaan jaringan antarabangsa.

Penglibatan peserta dari pelbagai negara tersebut telah memperkayakan perkongsian pengalaman dan perspektif rentas budaya serta membuka peluang kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, organisasi belia dan komuniti di rantau ASEAN dan Jepun.

Penyertaan UMPSA diketuai oleh Cik Noraniza Binti Samat, Pensyarah Jabatan Pengkomputeran Multimedia, Fakulti Komputeran disokong oleh barisan pensyarah yang terdiri daripada Ts. Dr. Tuty Asmawaty Abdul Kadir, Ts. Azlina Binti Zainuddin, En. Abdullah Mohd Safri, Pn. Roslina Mohd Sidek, dan En. Muhammad Adhwa Mohd Salemi.
Penyertaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula diterajui oleh Prof. Madya Dr. Haslinda Hashim, Timbalan Dekan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, bersama Dr. Nor Siah Jaharuddin, Ketua Program, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, yang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan antarabangsa antara institusi yang terlibat.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk pengalaman komuniti di Kampungstay Desa Murni, penerokaan biodiversiti di Taman Negara, sesi pembangunan kepimpinan, perbincangan berkumpulan, pembentangan projek berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pertukaran budaya serta aktiviti jaringan profesional yang memperlihatkan kepelbagaian warisan dan identiti negara-negara ASEAN serta Jepun.
Menurut Dato' Haji Sahariman Haji Hamdan, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM), JAY 2.0 merupakan platform strategik yang bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara negara, malah berperanan membentuk generasi pemimpin muda yang memiliki perspektif global dan semangat kerjasama serantau.

“JAY 2.0 bukan sekadar program pertukaran budaya, tetapi merupakan platform pembangunan kepimpinan yang membuka ruang kepada kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan profesional antara peserta, universiti dan organisasi dari rantau ASEAN serta Jepun. Program seperti ini memberi pengalaman pembelajaran yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah dan membantu membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.

Program ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang yang diwakili oleh Pn Syarifah Hidayatul Hasanah binti Syed Affendy serta agensi-agensi pelancongan, komuniti setempat dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Bagi UMPSA, penyertaan dalam JAY 2.0 memberi peluang memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, meningkatkan kompetensi global pelajar serta membuka potensi kolaborasi baharu dalam bidang pelancongan pintar, kecerdasan buatan, pembangunan komuniti, transformasi digital dan inovasi berteraskan kelestarian. Program ini juga menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang mempunyai kemahiran kepimpinan, komunikasi antara budaya, pemikiran kritis dan keupayaan bekerja dalam persekitaran antarabangsa.

Selain itu, penglibatan UMPSA dalam program ini berpotensi membuka ruang kepada pembangunan projek bersama dalam bidang Smart Tourism, Artificial Intelligence (AI), Community-Based Tourism, Sustainable Development Goals (SDG) serta mobiliti pelajar dan penyelidik antara institusi pendidikan tinggi di rantau ASEAN dan Jepun.
Susulan kejayaan penganjuran tahun ini, pihak penganjur merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak institusi pendidikan tinggi dan organisasi belia di rantau ASEAN serta Jepun melalui program mobiliti pelajar, projek komuniti rentas negara, program pembangunan kepimpinan belia dan inisiatif inovasi sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Program JAY 2.0 membuktikan bahawa kerjasama strategik antara universiti, industri, komuniti dan organisasi antarabangsa mampu melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing, berfikiran global dan bersedia menerajui pembangunan serantau pada masa hadapan.

Sumber: Ts Azlina binti Zainuddin, Pensyarah Fakulti Komputeran 

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my