Jelajah Pemindahan Ilmu InapKit FK UMPSA Terus Mekar, Santuni Pengusaha Inap Desa di Kuala Lipis dan Cameron Highlands
Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan momentum pemerkasaan pendigitalan pelancongan desa menerusi siri jelajah Program Pemindahan Ilmu Pembangunan Panduan Interaktif (InapKit).Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan siri jelajah geran inovasi sosial (CDU240109) yang terdahulu dilaksanakan di daerah Maran, Raub, dan Temerloh. Inisiatif berterusan ini membuktikan komitmen UMPSA dalam memastikan transformasi digital dapat dinikmati secara menyeluruh oleh pengusaha inap desa di seluruh negeri Pahang.
Program ini dijayakan dengan kerjasama Kolej Komuniti Pekan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan siri kali ini telah singgah di dua destinasi pelancongan popular iaitu di Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis pada 16 hingga 17 Ogos 2025 dan diteruskan ke lokasi tanah tinggi, Kampung Taman Sedia, Cameron Highlands pada 19 hingga 20 Ogos 2025.
Siri pemindahan ilmu ini diketuai oleh Ts. Siti Normaziah Ihsan bersama pasukan pakar yang terdiri daripada Ts. Dr. Tuty Asmawaty Abd Kadir, Ts. Dr. Siti Suhaila Abd Hamid, Ts. Dr. Zahian Ismail, dan Ts. Junaidi Zakaria. Program ini juga disertai oleh 2 pensyarah daripada Kolej Komuniti Pekan, Encik Mohd Hanafi bin Hashim dan Cik Siti Khairun Naemah Malik selaku pakar dalam industri pelancongan. Seramai 20 orang pengusaha inap desa tempatan telah menyertai program intensif ini. Fokus utama bengkel adalah untuk memperkasa keupayaan peserta menguruskan perniagaan secara sistematik menggunakan teknologi. Peserta didedahkan dengan latihan amali merangkumi pengisian maklumat penginapan, penyediaan katalog digital, penghasilan bahan promosi interaktif, serta pengurusan tempahan pelanggan melalui platform InapKit.
![]() |
![]() |
![]() |
Program di Kuala Lipis
Di Kuala Lipis, Encik Anolfitri Bin Amihamzah yang merupakan pengusaha homestay Kampung Kuala Medang menyifatkan program ini amat bermanfaat dalam membantu pengurusan rekod tempahan yang lebih terancang. Perkara ini turut dipersetujui oleh wakil penyelaras Homestay Kampung Kuala Medang, Encik Zulfadhli Bin Abdul Wahab yang melihat InapKit sebagai platform terbaik untuk memperluas capaian pelanggan. Manakala di Cameron Highlands, Encik Tengku Zulfazil, pengusaha Homestay Taman Sedia, mengakui bahawa aplikasi InapKit sangat membantu pelanggan mendapatkan maklumat penting seperti harga dan kemudahan dengan lebih pantas dan jelas.
Kejayaan penganjuran di Lipis dan Cameron Highlands ini, susulan daripada siri di Maran, Raub, dan Temerloh, menandakan satu langkah signifikan dalam usaha UMPSA menyokong ekosistem pelancongan luar bandar yang mampan serta berdaya saing di era digital.
![]() |
![]() |
![]() |
Program di Cameron Highlands
Sumber: Ts. Siti Normaziah Ihsan, Pensyarah Fakulti Komputeran






