Kunjungan Rasmi STIKOM AMIK Tunas Bangsa ke UMPSA Perkukuh Jaringan Kolaborasi Strategik Antarabangsa
PEKAN, 11 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Sekolah Tinggi Ilmu Komputer (STIKOM) Tunas Bangsa, Pematangsiantar, Indonesia. Lawatan ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kolaborasi akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Delegasi berprofil tinggi yang terdiri daripada enam orang pegawai kanan itu diketuai oleh H. Ahmad Ridwansyah Putra, Ketua dan Pengasas Yayasan Muhammad Nasir AMIK dan STIKOM Tunas Bangsa. Kunjungan ini merupakan kesinambungan kepada jalinan kerjasama terdahulu, dengan tumpuan khusus terhadap pertukaran akademik, penyelidikan bersama, serta inisiatif pembangunan institusi yang membawa manfaat bersama. Kehadiran delegasi ini turut mencerminkan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam mempertingkatkan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komputeran.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah binti Alias, menerusi satu sesi pertemuan rasmi yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor UMPSA Pekan. Sesi ini berfungsi sebagai platform utama bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik, termasuk potensi perluasan program mobiliti pelajar dan staf akademik, kolaborasi penyelidikan rentas institusi, serta penerokaan peluang baharu dalam inovasi teknologi.
Agenda lawatan kemudiannya diteruskan dengan sesi perbincangan bersama pengurusan Fakulti Komputeran di Bilik Mesyuarat Al-Razi, Fakulti Komputeran. Sesi yang dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam bin Mohmad Kahar ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai projek penyelidikan semasa. Turut diadakan adalah pembentangan khas projek pendayaan komuniti Fakulti Komputeran bertajuk Teknologi Fertigasi Ubi Keledek Ungu Anggun dengan Pemantauan dan Automasi IoT yang disampaikan oleh Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajuddin.
Bagi mendedahkan perwakilan kepada keupayaan infrastruktur UMPSA, delegasi seterusnya dibawa melawat beberapa fasiliti utama dan makmal Pengajian Siswazah di Fakulti Komputeran. Peninjauan secara langsung ini berupaya memperkukuh keyakinan perwakilan terhadap potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan termaju dan pembangunan teknologi digital.
Pada sebelah petang, agenda diteruskan dengan lawatan tapak bagi pelaksanaan Program Khidmat Komuniti Antarabangsa di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak. Lebih bermakna, program ini turut mendapat tajaan dana berjumlah RM15,000.00 daripada pihak STIKOM Tunas Bangsa. Projek komuniti yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Ts. Dr. Jamaluddin bin Sallim ini jelas menzahirkan komitmen utuh kedua-dua institusi terhadap tanggungjawab sosial, di samping memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan warga akademik dan peserta program.
Secara tuntasnya, kunjungan rasmi ini bukan sahaja dilihat sebagai langkah signifikan dalam mempererat hubungan diplomatik dan akademik antara UMPSA dan STIKOM Tunas Bangsa , malah ia turut membuka lembaran baharu bagi penganjuran program antarabangsa, pertukaran kepakaran, dan penghasilan penyelidikan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
