Pelajar SK Sinar Mutiara Adakan Lawatan Sambil Belajar Ke Fakulti Komputeran UMPSA
PEKAN, 25 November 2025 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan seramai 60 orang murid dan 10 orang guru dari Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara dalam program Lawatan Sambil Belajar yang berlangsung bermula jam 8.30 pagi.
Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai bidang Komputeran serta memperkenalkan asas teknologi digital dalam suasana pembelajaran di peringkat universiti. Lawatan ini juga merupakan usaha untuk memupuk minat murid terhadap bidang STEM dan teknologi maklumat sejak usia muda.
Sepanjang lawatan, menerusi sesi perkongsian ilmu, murid-murid ini diperkenalkan dengan aplikasi-aplikasi AI yang boleh digunakan dalam sesi pembelajaran. Mereka turut dibawa melawat beberapa makmal fakulti, antaranya Makmal Tangkapan Gerakan, Makmal Kabel dan Rangkaian serta Makmal Robotik.

Di makmal-makmal ini, murid-murid diberi peluang melihat demonstrasi penggunaan peralatan teknologi yang digunakan oleh pelajar universiti. Sesi interaktif ringkas turut dijalankan, membolehkan mereka merasai pengalaman pembelajaran secara langsung dalam persekitaran makmal sebenar.

Fakulti Komputeran UMPSA menyambut baik kunjungan ini dan komited untuk terus menyokong program pembangunan pelajar sekolah melalui pendedahan teknologi dan pendidikan digital.
Sumber : Puan Aidel Fitri binti Windra, Fakulti Komputeran
