Lawatan SMK Peramu Jaya ke UMPSA Berjaya Cetus Minat Belajar Bidang Komputeran
PEKAN, 26 November 2025 – Fakulti Komputeran UMPSA telah menerima kunjungan seramai 70 orang pelajar dan 5 orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Peramu Jaya dalam satu program lawatan akademik yang bertujuan membuka pendedahan awal terhadap bidang komputeran serta persekitaran pengajian tinggi.

Program dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan Fakulti Komputeran dan penerangan ringkas mengenai program-program pengajian serta prospek kerjaya dalam bidang komputeran. Pelajar turut diperkenalkan kepada perkembangan semasa dalam dunia kecerdasan buatan (AI), termasuk peluang masa depan yang berkaitan dengan kemahiran digital.
Salah satu pengisian menarik dalam lawatan ini ialah lawatan ke makmal latihan, di mana pelajar berpeluang melihat sendiri kemudahan komputer berprestasi tinggi, peralatan pembangunan digital, serta demonstrasi ringkas berkaitan pemprograman dan aplikasi teknologi.
![]() |
![]() |
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar serta penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan. FK yakin lawatan seperti ini dapat menyokong aspirasi negara dalam melahirkan generasi celik teknologi serta mencetus inspirasi kepada pelajar untuk meneroka potensi dalam bidang STEM dan AI.
Sumber : Puan Aidel Fitri binti Windra, Fakulti Komputeran


