Delegasi FSKTM UNIMAS Adakan Lawatan Rasmi ke Fakulti Komputeran UMPSA
PEKAN, 24 November 2025 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diketuai oleh Ts Nurfauza binti Jali bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, program akademik dan latihan industri.
Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi itu disambut oleh wakil pengurusan serta warga akademik Fakulti Komputeran UMPSA. Mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan potensi kolaborasi melibatkan penyelidikan bersama, pembangunan program akademik, serta pengukuhan jaringan industri dan akademik antara kedua-dua institusi.
Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, delegasi UNIMAS turut dibawa melawat ke beberapa makmal dan fasiliti penyelidikan di fakulti, termasuk makmal pengkomputeran dan ruang penyelidikan teknologi terkini. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk meninjau kemudahan yang digunakan bagi menyokong pembelajaran pelajar serta aktiviti penyelidikan fakulti.
![]() |
![]() |
Sesi lawatan rasmi ini dijangka membuka ruang kerjasama strategik berimpak tinggi, selain memperkukuh hubungan dua hala yang dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi dan ekosistem penyelidikan negara.
Fakulti Komputeran UMPSA merakamkan penghargaan atas kunjungan delegasi FSKTM UNIMAS dan berhasrat untuk meneruskan agenda kerjasama yang memberi manfaat bersama di masa hadapan.

Sumber : Puan Aidel Fitri binti Windra, Fakulti Komputeran


