UMPSA dan UAD Perkukuh Kerjasama Melalui Program Mobiliti Pelajar
YOGYAKARTA, INDONESIA, 14 Ogos 2026 — Seramai 19 Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) dan seorang staff pengiring Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajuddin, Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Program Mobiliti PETAKOM @ Jogja, Indonesia bersama Universitas Ahmad Dahlan (UAD) dari 7 hingga 14 Ogos 2026.
Program ini menjadi platform kepada mahasiswa untuk memperluas pengalaman akademik, teknologi, organisasi serta pertukaran budaya menerusi pelbagai aktiviti yang disusun bersama pihak UAD.
Antara pengisian utama program ialah lawatan industri ke Frogs Indonesia, sebuah syarikat teknologi yang berasaskan di Yogyakarta dan memberi tumpuan kepada pembangunan serta pembuatan pelbagai teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron. Frogs Indonesia turut membangunkan dron untuk aplikasi seperti pertanian, pemetaan, pengawasan dan logistik.
Peserta turut berpeluang mengadakan lawatan industri ke Qiscus, sebuah syarikat teknologi yang membangunkan platform komunikasi dan customer engagement secara omnichannel. Platform Qiscus membantu perniagaan mengurus komunikasi pelanggan melalui pelbagai saluran digital dalam satu platform, termasuk sokongan teknologi AI.
Selain itu, program turut merangkumi sesi perkongsian bersama Himpunan Mahasiswa UAD yang memberi pendedahan mengenai struktur, pengurusan dan aktiviti organisasi mahasiswa di UAD. Sesi bersama Kelab Robotik UAD pula membuka ruang kepada peserta untuk mengenali teknologi robotik serta proses pembinaan dan pembangunan robot oleh mahasiswa universiti berkenaan.
Dalam aspek akademik, peserta mengikuti sesi Cloud Computing yang disampaikan oleh Dr. Ir. Ardi Pujiyanta daripada pihak UAD, sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian daripada pihak UMPSA yang disampaikan oleh Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajudin. Kedua-dua sesi ini memberikan pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan teknologi pengkomputeran awan serta aplikasinya dalam bidang teknologi maklumat.
Kemuncak program pada hari terakhir ialah sesi pertukaran budaya antara Malaysia dan Yogyakarta,Indonesia. Pihak UAD mempersembahkan tarian kebudayaan mereka, manakala delegasi UMPSA memperkenalkan kepelbagaian pakaian tradisional masyarakat Malaysia serta adat dan nilai yang terkandung di sebaliknya, termasuk Baju Melayu, kurta masyarakat India, Baju Kurung Pahang dan pakaian tradisional lain.
Secara keseluruhannya, Program Mobiliti PETAKOM @ Jogja, Indonesia telah berlangsung dengan lancar dan teratur serta berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan akademik dan jaringan mahasiswa antara UMPSA dan UAD. Program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman antarabangsa, meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi serta memahami kepelbagaian budaya kedua-dua negara. Program ini juga telah mendapat liputan dari media Yogyakarta, Indonesia seperti https://lldikti5.kemdiktisaintek.go.id/home/detailpost/uad-dan-umpsa-perkuat-kerja-sama-melalui-student-mobility-program, https://news.uad.ac.id/uad-dan-universiti-malaysia-pahang-jalankan-student-mobility-program/ dan media sosial UAD.
Pihak Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universitas Ahmad Dahlan (UAD) atas segala kerjasama, sokongan dan layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Diharapkan jalinan kerjasama ini dapat terus diperkukuh dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.
Sumber: PETAKOM
{gallery}2026/mobiliti-jogja{/gallery}
