UMPSA - STIKOM Tunas Bangsa, Indonesia Meterai MoA dan MoU, Projek Penyelidikan Kerjasama Antarabangsa
MEDAN, INDONESIA, 31 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (MoA) bersama STIKOM Tunas Bangsa, Indonesia.
Majlis menandatangani perjanjian penuh bersejarah ini telah berlangsung dengan jayanya pada 31 Julai 2026 di Medan, Indonesia. Dokumen MoU dan MoA telah ditandatangani oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Ketua STIKOM Tunas Bangsa, Dr. Dedy Hartama, S.T., M.Kom., disaksikan oleh Pengasas Yayasan Muhammad Nasir, H. Ahmad Ridwansyahputra.
Menerusi MoA yang dimeterai, kedua-dua institusi bersetuju untuk menggembleng kepakaran dalam projek penyelidikan bertajuk "Intelligent Water Quality Monitoring for Aquaculture Applications" yang diketuai oleh Ts. Dr. Jamaludin bin Sallim, Pensyarah Fakulti Komputeran UMPSA. Antara fokus utama kerjasama akademik dan penyelidikan ini merangkumi:
• Penyejajaran pembangunan teknologi melalui pembangunan serta replikasi sistem pemantauan kualiti air pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
• Pertukaran kepakaran & pelajar melalui aktiviti pemindahan ilmu, pertukaran staf/pelajar, serta seminar dan persidangan antarabangsa.
• Penerbitan Bersama dalam penghasilan kertas kerja penerbitan ilmiah secara bersama dalam jurnal berprestij.
Menyusuli majlis pemeteraian tersebut, delegasi UMPSA dan STIKOM Tunas Bangsa telah mengadakan lawatan tapak ke Pondok Pesantren Darul Mishbah pada 1 Ogos 2026. Lokasi ini telah dijadikan sebagai "Laboratorium Hidup: Smart Aquaculture for Sustainable Energy"- sebuah makmal hidup (living lab) bagi pengujian dan pelaksanaan projek penyelidikan kerjasama antarabangsa UMPSA–STIKOM. Pengwujudan living lab ini bertujuan:
1. Mengaplikasikan inovasi akuakultur berbantukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menjalankan pengujian keberkesanan sistem pemantauan pintar di persekitaran ternakan ikan sebenar secara mampan.
2. Pemindahan ilmu & teknologi dengan memberi konsultasi teknikal dan latihan praktikal kepada warga pesantren serta komuniti setempat.
3. Pendedahan teknologi kepada generasi muda dengan memperkasa minda pelajar pondok pesantren menerusi sesi pendedahan dan inspirasi kepentingan penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pada program ini juga, Ts. Dr. Jamaludin bin Sallim turut menyampaikan sesi pengkuliahan khas (Guest Lecturer) serta rundingan teknikal bagi memastikan pengurusan projek akuakultur di makmal hidup tersebut berjalan dengan cekap dan berimpak tinggi.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja membuktikan keupayaan penyelidikan UMPSA di peringkat global, malah memperlihatkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga mampan dapat memberikan impak langsung kepada sosioekonomi komuniti setempat. Usaha sama ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek inovasi komuniti berasaskan AI dan teknologi mampan antara Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
