Perkongsian Penyelidikan 2026 Rancakkan Sinergi Akademik UMPSA - Indonesia
PEKAN, 17 April 2026 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melabuhkan tirai program "Scholars Meet Research Sharing 2026" dengan jayanya bertempat di Dewan Kuliah 2 pada hari ini. Program perkongsian penyelidikan berimpak tinggi ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran peserta yang terdiri daripada barisan pelajar pascasiswazah dan para pensyarah Fakulti Komputeran UMPSA sendiri.
Sesi percambahan ilmu yang bermula pada jam 9.30 pagi ini telah menampilkan empat tokoh akademik terkemuka tempatan dan antarabangsa. Pembentangan dimulakan dengan perkongsian daripada Dr. Adli Abdillah Nababan (Bina Nusantara University) dan Dr. Dedy Hartama (STIKOM Tunas Bangsa) dari Indonesia yang mengupas topik automasi Kecerdasan Buatan (AI) serta logistik kemanusiaan. Turut membarisi panel penceramah ialah Prof. Madya Dr. Nor Shahniza Kamal Bashah (UiTM) dan pakar dari UMPSA sendiri, Prof. Dato’ Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli yang memfokuskan kepada kolaborasi strategik industri-akademia dan penemuan terkini dalam bidang kejuruteraan perisian.
Menariknya, penganjuran program pada kali ini turut diserikan dengan penglibatan delegasi pensyarah dari Indonesia. Kunjungan serampang dua mata delegasi tersebut ke UMPSA ini adalah rentetan daripada kehadiran mereka pada mesyuarat penyelarasan penganjuran persidangan antarabangsa ICSECS & ICOCSIM 2027 yang telah berlangsung pada hari sebelumnya. Jaringan kerjasama strategik ini diyakini mampu merancakkan budaya penyelidikan akademik di samping mengukuhkan lagi sinergi serantau antara institusi-institusi pendidikan tinggi yang terlibat.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
