Fakulti Komputeran UMPSA Anjur Simposium Perkasa Strategi 'Graduate on Time' - Connect. Learn. Achieve. Succeed.
Pekan, 9 September 2026 - Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Simposium Kecemerlangan Siswazah yang memberi tumpuan kepada strategi Graduate on Time (GOT) dalam usaha membantu pelajar pasca siswazah merancang dan mengurus pengajian dengan lebih berkesan.
Simposium yang berlangsung pada 9 September 2026 (Rabu) itu diadakan secara bersemuka di DK2-01, Dewan Kuliah Komputer 1 (D-KOMP 1), selain turut menyediakan sesi secara dalam talian dengan menampilkan perkongsian daripada barisan akademik dan pelajar pasca siswazah.
Sesi pertama menampilkan Profesor Madya Ts. Dr. Suryanti Awang yang menyampaikan perkongsian bertajuk “Viva Matters: Towards a Smooth Viva Experience”, dengan memberi penekanan terhadap persediaan dan pengurusan proses viva voce bagi memastikan pengalaman pembentangan tesis berjalan dengan lancar.
Sementara itu, sesi kedua disampaikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Ferda Ernawan menerusi tajuk “Road to Graduate on Time: Effective Research, Publication and Time Management” yang mengetengahkan kepentingan pengurusan penyelidikan, penerbitan dan masa secara berkesan bagi membantu pelajar menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagi sesi dalam talian pula, Agit Amrullah, pelajar pascasiswazah, berkongsi pengalaman menerusi tajuk “Life, Research, and Graduating on Time” yang menyentuh aspek kehidupan, penyelidikan serta cabaran dalam usaha menamatkan pengajian mengikut tempoh yang dirancang.
Penganjuran simposium ini menekankan tiga aspek penting dalam mencapai kejayaan pengajian siswazah, iaitu pengurusan masa, pelaksanaan penyelidikan secara strategik serta perancangan yang sistematik untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
Dengan slogan “Connect. Learn. Achieve. Succeed.”, program ini diharap dapat memberikan panduan praktikal dan motivasi kepada pelajar pasca siswazah untuk mengurus perjalanan akademik dengan lebih terancang dan sistematik, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bergraduasi mengikut tempoh yang ditetapkan.
Antara mesej utama yang diketengahkan menerusi simposium ini ialah “Plan. Persist. Graduate. Achieve.” yang mencerminkan komitmen Fakulti Komputeran dalam membimbing pelajar pasca siswazah mencapai matlamat akademik serta kecemerlangan dalam pengajian.
Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran
