RunCloud Education X Faculty of Computing UMPSA Collaboration Meeting
PEKAN, 10 Mac 2025 – Fakulti Komputeran UMPSA bersama Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) UMPSA telah mengadakan sesi perbincangan dengan RunCloud Education bagi meneroka peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan teknologi awan. Mesyuarat ini membincangkan inisiatif RunCloud Education, yang menawarkan pembelajaran berperingkat dari tahap asas hingga profesional, serta program RunCloud Apprentice, yang menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar fakulti.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh pembangunan Microcredential & Certification, di mana RunCloud Education bercadang untuk memperkenalkan sijil seperti Cloud Awareness Series dan Cloud Skill Series dengan pengiktirafan daripada MBOT dan RunCloud Education sendiri.
Satu lagi inisiatif utama ialah cadangan penganjuran RC Education Regional Meetup @ UMPSA, sebuah program sehari yang menyasarkan penyertaan pelajar IT, graduan baharu, dan profesional dari negeri-negeri di Pantai Timur Malaysia. Dengan jangkaan penyertaan antara 150 hingga 200 peserta, program ini akan memfokuskan kepada perkongsian pengetahuan, pembelajaran praktikal, rangkaian profesional, pembangunan kerjaya, serta kemahiran berkaitan teknologi terkini oleh pakar industri.
Mesyuarat ini turut membincangkan usaha untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara UMPSA dan RunCloud Education. Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyediakan Letter of Intent (LoI) bagi menandakan komitmen awal terhadap kolaborasi ini.
Dengan kerjasama ini, Fakulti Komputeran UMPSA dan RunCloud Education berharap dapat memperkasakan kemahiran pelajar dalam teknologi awan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam industri, sejajar dengan keperluan pasaran pekerjaan digital yang semakin berkembang.
Sumber: 'Ainun Najihah binti Ahmad Anas, PETAKOM
{gallery}2025/runcloud-fk{/gallery}