Sesi Pertemuan Pihak Pengurusan Fakulti Komputeran bersama Keluarga Arwah Muhammad Adam
PEKAN, 9 Mei 2025 - Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan sesi pertemuan bersama keluarga Allahyarham Muhammad Adam bin Mohd Nazim, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik & Multimedia) dengan Kepujian yang telah meninggal dunia kerana kemalangan pada 25 April 2025 yang lalu. Sesi ini merupakan usaha murni pihak fakulti bagi menyampaikan ucapan takziah secara rasmi dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.
![]() |
![]() |
Program dimulakan pada jam 11.00 pagi dengan ketibaan keluarga Allahyarham yang terdiri daripada bapanya, Encik Mohd Nazim Bin Abu Bakar, ibunya Puan Arizah binti Talha, nenek Allahyarham serta dua adiknya di Kolej Mawardah. Mereka disambut oleh Prof. Ts. Dr. Aida binti Mustafa yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bersama ahli Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Turut serta adalah wakil ahli Pengurusan Fakulti Komputeran serta beberapa orang rakan Allahyarham. Keluarga Allahyarham dibawa untuk bertemu dengan rakan-rakan serta mengambil barang-barang peninggalan Allahyarham daripada kediamannya di Kolej Mawardah tersebut.
![]() |
Keluarga Allahyarham kemudiannya dibawa ke Fakulti Komputeran bagi sesi bersama Fakulti Komputeran yang turut dihadiri oleh rakan-rakan arwah sebagai tanda penghormatan kepada sahabat mereka. Majlis ini turut disertai oleh Yang Hormat Lt. Kol Dato' Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar bin Kamaludin dan ahli Pengurusan Fakulti Komputeran. Dalam sesi tersebut, pihak fakulti telah menyampaikan sumbangan kewangan hasil kutipan daripada staf Fakulti Komputeran dan kutipan daripada Tabung We Care PETAKOM kepada keluarga arwah.
![]() |
![]() |
Pihak fakulti berharap semoga pertemuan ini sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan dan kekuatan kepada ahli keluarga arwah dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.
Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Adam. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Nur Sarihah Abdul Hamid, Pembantu Tadbir (Hal Ehwal Pelajar Fakulti Komputeran)