Inisiatif SULAM UMPSA Bimbing Murid Pendidikan Khas Kuasai Asas Videografi dan Penyuntingan
PEKAN, 5 Disember 2025 - Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan telah berjaya menganjurkan Program Empower Lens, sebuah inisiatif komuniti di bawah Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) melalui kursus Fundamental of Digital Media (BCM1013) yang dikendalikan oleh Ts. Siti Normaziah Ihsan. Program yang diadakan pada 4 - 5 Disember 2025 ini melibatkan seramai 52 orang pelajar UMPSA sebagai fasilitator dan 17 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dari sekolah-sekolah sekitar daerah Pekan.
![]() |
![]() |
Sekolah yang terlibat ialah SK Bandar 2 Paloh Hinai, SK Lepar, SK Paloh Hinai, SK Serandu, SK Seri Biram, SMK Dato’ Mahmud Mat, SMK Paloh Hinai, SMK Peramu Jaya, SMK Sultan Ahmad dan SMK Tengku Abdullah. Penyertaan sekolah-sekolah ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan potensi kreatif murid pendidikan khas melalui pembelajaran digital yang inklusif. Sepanjang dua hari program, peserta mengikuti rangkaian latihan videografi yang merangkumi tiga modul utama iaitu pra-produksi, penggambaran dan pasca-produksi.
![]() |
![]() |
Program diakhiri dengan sesi pembentangan video yang dihasilkan bersama fasilitator pelajar. Sesi ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti peserta, tetapi turut membina keyakinan serta kemahiran komunikasi mereka. Program Empower Lens berjaya membuka peluang pembelajaran kreatif kepada murid MBPK, di samping membolehkan pelajar UMPSA mengaplikasikan kemahiran teknikal, kepimpinan dan bimbingan dalam situasi komuniti sebenar. UMPSA komited untuk terus memperkasa komuniti melalui program inklusif yang menyokong pembangunan sahsiah, kreativiti dan kemahiran digital generasi muda.
![]() |
![]() |
Sumber : Ts. Siti Normaziah Ihsan, Pensyarah Fakulti Komputeran






