Official Website    

News & Gallery

PETAKOM UMPSA Serah Sumbangan RM10,000 kepada 100 Pelajar UMPSA Menjelang Hari Raya Aidilfitri 2025

PETAKOM UMPSA Serah Sumbangan RM10,000 kepada 100 Pelajar UMPSA Menjelang Hari Raya Aidilfitri 2025

PEKAN, 19 Mac 2025 – Dalam semangat menyambut Syawal yang bakal tiba, Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) dari Fakulti Komputeran UMPSA dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Yayasan Bushra, dan Yayasan UMPSA telah mengadakan sesi serahan Sumbangan Hari Raya berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar UMPSA. Inisiatif ini khusus ditujukan kepada pelajar Fakulti Komputeran yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, serta mereka yang kurang berkemampuan.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha PETAKOM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 2: Kelaparan Sifar. Dengan memastikan bantuan kebajikan sampai kepada pelajar yang memerlukan, ia sekaligus dapat meringankan beban mereka menjelang Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi, agar mereka dapat menyambutnya dengan lebih bermakna dan ceria.

Majlis serahan berlangsung dengan penuh kesyukuran, di mana setiap penerima menerima bantuan kewangan yang dapat membantu mereka dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih bermakna. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Tabung We Care PETAKOM, yang bertujuan untuk memastikan kebajikan pelajar terus terbela melalui pelbagai bentuk sokongan dan bantuan. Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, Dekan Fakulti Komputeran UMPSA , program ini bukan sahaja menyampaikan bantuan dalam bentuk wang tetapi juga sebagai tanda sokongan moral kepada pelajar yang memerlukan. “Kami ingin memastikan bahawa setiap pelajar dapat menyambut hari raya dengan kegembiraan, tanpa perlu merasa terbeban dengan kekangan kewangan,” katanya.

Sumbangan ini mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Taqwa, Yayasan Bushra, dan Yayasan UMPSA yang sentiasa komited dalam membantu pelajar yang memerlukan. “Kami amat menghargai usaha PETAKOM dalam menjayakan program kebajikan seperti ini. Semoga lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan pelajar,” ujar wakil Yayasan UMPSA.

Para penerima menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan. “Sumbangan ini sangat bermakna buat kami, terutamanya dalam membuat persiapan raya. Terima kasih kepada PETAKOM dan semua pihak yang menyumbang,” kata salah seorang pelajar yang menerima bantuan.

PETAKOM berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak sokongan daripada pihak berkaitan. Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan kebajikan pelajar UMPSA terus terbela, seiring dengan usaha membina komuniti kampus yang inklusif, prihatin, dan lestari.

Sumber: Kishern A/L Suras Kumar, PETAKOM

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my