Program Pengukuhan dan Kebersamaan Fakulti Komputeran 2026 Perkukuh Semangat Kekitaan Warga Fakulti
PEKAN, 8 September 2026 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Pengukuhan dan Kebersamaan Fakulti Komputeran 2026 dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Komputeran (KESUKOMP), bertempat di Akademi Adab, UMPSA Pekan.
Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan penyertaan warga Fakulti Komputeran sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuh hubungan, memupuk semangat kekitaan serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan warga fakulti.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat sebelum peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Para peserta kemudiannya menyertai aktiviti Management Game yang dikendalikan oleh pihak Akademi Adab, diikuti aktiviti Low Rope yang mana kedua-duanya menekankan elemen komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan penyelesaian masalah.
Aktiviti yang dilaksanakan secara berkumpulan ini turut memberi peluang kepada warga fakulti untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan mencabar, sekali gus menggalakkan pembentukan hubungan kerja yang lebih erat antara satu sama lain.
Program diteruskan dengan sesi rumusan dan refleksi aktiviti, di mana peserta berpeluang berkongsi pengalaman serta pengajaran yang diperoleh sepanjang program. Sesi bergambar dan makan tengah hari kemudiannya menjadi penutup kepada program yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat kekitaan, meningkatkan persefahaman dan memperkukuh budaya kerja berpasukan dalam kalangan warga Fakulti Komputeran, seterusnya membentuk sebuah pasukan yang lebih harmoni, dinamik dan berdaya saing.
Sumber: Puan Aidel Fitri Windra, Setiausaha, Fakulti Komputeran
