Penyelidik UMPSA Perkasakan Komuniti Tani Pahang dengan Teknologi Pintar Ubi Keledek
PEKAN, 18 September 2026 – Fakulti Komputeran (FK) dengan kerjasama JaringanIndustri dan Masyarakat (ICoN), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Program Latihan Teknologi Fertigasi Ubi Keledek Unggu Anggun dengan Pemantauan dan Automasi IoT. Program berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Bilik Teater Komputer 2, Fakulti Komputeran. Program ini telah mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat apabila menghimpunkan seramai hampir 70 orang peserta yang terdiri daripada pekebun dan petani kecil dari sekitar daerah Pekan, Kuantan, Maran, dan Bera.
Program berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada projek bawah inisiatif Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti menerusi geran bernombor CDU250122 yang diketuai oleh Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajuddin selaku ketua penyelidik geran. Beliau bukan sahaja mengemudikan projek penyelidikan ini, malah turut memainkan peranan penting bertindak sebagai moderator bagi keseluruhan sesi perkongsian sepanjang program latihan berlangsung.
Pengisian latihan dimulakan dengan sesi pertama yang disampaikan oleh Dr. Nurul Afza Binti Karim, Pegawai Penyelidik Kanan dari MARDI yang mempunyai kepakaran dan pengalaman selama hampir 20 tahun dalam bidang penanaman ubi keledek dan ubi-ubian. Beliau membawakan tajuk ceramah 'Pengenalan Varieti Keledek MARDI, Teknologi Tanaman Ubi Keledek dan Pembajaan serta Kawalan Bersepadu Serangga Perosak' yang memberikan pendedahan komprehensif mengenai teknik penanaman ubi keledek varieti MARDI secara optimum.
Program diteruskan dengan sesi kedua yang disampaikan oleh En. Yusmin bin Jaffar, Eksekutif Teknikal ICoN UMPSA yang berkepakaran dalam sistem fertigasi dan Internet of Things (IoT). Menerusi ceramah bertajuk 'Penggunaan IoT Ubibot, Reka Bentuk Perpaipan dan Fertigasi', para peserta telah didedahkan dengan kemahiran teknikal berkenaan rekabentuk sistem perpaipan dan pengaplikasian teknologi penderia Ubibot bagi pemantauan serta automasi tanaman secara cekap.
Penganjuran program ini bermatlamat utama untuk melahirkan petani tempatan yang mahir dalam penggunaan teknologi pintar berasaskan IoT, khususnya bagi penanaman Ubi Keledek varieti MARDI. Langkah ini dijangka mampu meningkatkan produktiviti hasil pertanian serta menjana pendapatan yang lumayan buat komuniti, sekali gus menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan iaitu Sifar Kemiskinan (SDG 1) dan Sifar Kelaparan (SDG 2). Di samping itu, latihan ini turut membuka ruang potensi pembentukan ekosistem produk hiliran berasaskan ubi keledek manis seperti pembuatan kuih-muih dan karipap sebagai sumber pendapatan sampingan penduduk kampung.
Latihan ini mendapat maklum balas yang amat positif daripada rata-rata peserta yang meluahkan rasa teruja dan bertekad untuk mengaplikasikan ilmu fertigasi serta automasi IoT ini di kebun masing-masing. Penganjuran ini bukan sahaja berjaya merapatkan jurang teknologi dalam kalangan petani kecil, malah mewujudkan jalinan kolaborasi strategik yang kukuh antara pihak akademik UMPSA, agensi penyelidikan MARDI, serta komuniti pertanian merentas pelbagai daerah di Negeri Pahang.
Sumber: Ts. Dr. Abdullah Fairuzullah bin Ahmad Tajuddin, Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran
{gallery}2026/ubi-anggun{/gallery}
