Majlis Apresiasi Pelajar Fakulti Komputeran Meraikan Pencapaian SUKFAC dan Pengiktirafan PDTI 2025
PEKAN, 15 Januari 2026 – Majlis Apresiasi Pelajar Fakulti Komputeran bagi Pengiktirafan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) dan Premier Digital Tech Institutions (PDTI) 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, 15 Januari 2026 bertempat di Astaka Fakulti Komputeran, dari jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.
Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar Fakulti Komputeran yang telah memberikan sumbangan serta komitmen tinggi dalam mengharumkan nama fakulti melalui pencapaian cemerlang dalam kejohanan SUKFAC 2025 serta penglibatan aktif dalam proses penilaian penyambungan status PDTI. Seramai 89 orang pelajar Fakulti Komputeran telah hadir memeriahkan majlis ini, manakala 230 orang pelajar diraikan atas pencapaian membanggakan tersebut.
Untuk makluman, pada 15 Julai 2025, pihak Fakulti Komputeran bersama 11 orang pelajar telah terlibat dalam sesi temuduga penilaian bersama wakil daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi tujuan penyambungan status Premier Digital Tech Institutions (PDTI). Sesi penilaian ini merupakan sebahagian daripada proses rasmi yang menilai kesiapsiagaan fakulti dari aspek kurikulum, penglibatan pelajar, sokongan industri serta pelaksanaan inisiatif berkaitan bidang digital dan teknologi.
Hasil daripada sesi temuduga tersebut, Fakulti Komputeran telah berjaya menyambung status PDTI bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028. Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti akademik serta komitmen fakulti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital selaras dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Selain itu, majlis turut meraikan kejayaan para atlet Fakulti Komputeran dalam Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) 2025, di mana Fakulti Komputeran telah berjaya meraih tempat kedua keseluruhan dengan kutipan 10 pingat, terdiri daripada 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 4 pingat gangsa.
Secara keseluruhannya, penganjuran Majlis Apresiasi ini membuktikan komitmen Fakulti Komputeran dalam menghargai usaha, dedikasi serta pencapaian pelajar secara menyeluruh, sama ada dalam bidang akademik, sukan mahupun penglibatan strategik bersama industri. Diharapkan pengiktirafan ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta memperkukuh peranan fakulti dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berkemahiran digital tinggi.
Sumber: PETAKOM
{gallery}2026/apresiasi-sukfac{/gallery}
