Official Website    

News & Gallery

Fakulti Komputeran Pamer Keunggulan Inovasi Pelajar Menerusi FYPro-Com Semester 1 Sesi 2025/2026

Fakulti Komputeran Pamer Keunggulan Inovasi Pelajar Menerusi FYPro-Com Semester 1 Sesi 2025/2026

PEKAN, 22 Januari 2026 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi membuktikan komitmen dalam melahirkan graduan teknokrat yang berdaya saing menerusi penganjuran Karnival Projek Tahun Akhir (FYPRO-COM) yang berlangsung dengan jayanya bermula 19 hingga 22 Januari 2026.

Program semester ini merupakan platform strategik bagi penilaian kursus Projek Sarjana Muda (PSM I & II) dan Projek Tahun Akhir (PTA I & II), melibatkan penyertaan seramai 464 pelajar. Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan akademik, malah bertindak sebagai medan untuk para pelajar menterjemahkan hasil penyelidikan dan kreativiti mereka kepada solusi praktikal bagi menangani cabaran dunia teknologi sebenar.

Program kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran panel penilai daripada pihak industri yang dilantik khas untuk menilai 24 projek terbaik yang telah disaring. Sesi penilaian ini memberikan nilai tambah yang signifikan melalui maklum balas profesional serta perkongsian perspektif industri terkini.

Barisan panel industri yang terlibat termasuk wakil daripada syarikat terkemuka seperti BAE Systems Digital Intelligences (Malaysia), ATD Solutions Sdn Bhd, DXC Technology, Nilecraft Global Sdn Bhd, Augmented Innovation Sdn. Bhd., EDA Solutions Technologies Sdn. Bhd., OpenApps Sdn. Bhd. dan Kaneka Malaysia Sdn Bhd.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian anugerah kepada projek-projek yang mempamerkan kualiti luar biasa. Sebanyak enam (6) projek berjaya merangkul Pingat Emas, 12 projek menerima Pingat Perak, dan enam (6) projek dianugerahkan Pingat Gangsa.

Anugerah utama, ‘Best of The Best’ telah dimenangi oleh saudari Syahirah binti Abdul Hamid (CA22047) daripada Program Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian. Di bawah seliaan Dr. Syahrizal Azmir bin Md. Sharif, beliau mempertaruhkan projek bertajuk "SENTRA: Offline Password Manager" yang mendapat pujian tinggi daripada panel juri.

Selain sesi penilaian, program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu buat pelajar junior dan pelawat dari fakulti lain. Pameran teknologi yang meliputi bidang Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Rangkaian Komputer telah berjaya menyuntik semangat inovasi dalam kalangan warga kampus.

Sumber: Unit Pentadbiran Akademik Fakulti Komputeran

{gallery}2026/fypro-jan2026{/gallery}

Lawatan Kerja Naib Canselor dan Pengurusan Tertinggi UMPSA ke Fakulti Komputeran

Lawatan Kerja Naib Canselor dan Pengurusan Tertinggi UMPSA ke Fakulti Komputeran

PEKAN, 15 Jan 2026 – Fakulti Komputeran (FK) berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Naib Canselor UMPSA sejurus selesai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang diadakan di Fakulti Komputeran hari ini.

Kehadiran delegasi pengurusan tertinggi universiti telah disambut oleh Dekan Fakulti Komputeran, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Mohmad Kahar serta barisan pengurusan fakulti.

YBhg. Naib Canselor dan delegasi pengurusan universiti berkesempatan meninjau makmal Penyelidikan Machine Intelligence (MIRG), Makmal Penyelidikan Virtual Simulation & Computing (ViSiC) serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran fakulti. Beliau turut meluangkan masa menyaksikan demonstrasi prototaip inovasi pelajar serta menyantuni para pensyarah yang sedang giat menjalankan aktiviti penyelidikan.

YBhg. Naib Canselor turut menegaskan bahawa dalam era teknologi yang pantas berubah, pendidikan sains komputer tidak boleh lagi bergerak secara silo. FK memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kurikulum merangkumi aplikasi terkini seperti:
• Pembangunan sistem pintar & Kecerdasan Buatan (AI).
• Analisis Data Besar (Big Data).
• Keselamatan Siber.
• Etika dan implikasi sosial teknologi.

Pihak pengurusan universiti turut menyokong penuh usaha FK dalam memperluas jaringan kerjasama dengan gergasi industri seperti Huawei dan CISCO. Hubungan erat ini kritikal bagi memastikan graduan FK sentiasa relevan dan menjadi pilihan utama majikan melalui latihan industri yang berkualiti.

Di samping meninjau kemajuan teknologi, YBhg. Naib Canselor turut prihatin terhadap fasiliti fizikal fakulti. Beliau telah mengarahkan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH) untuk segera membaiki beberapa kerosakan yang dikenal pasti demi keselesaan warga FK. Turut serta dalam lawatan ini ialah Dato' Zainudin bin Othman (Bendahari) dan Prof. Dr. Mahadzir Ishak (Penolong Naib Canselor Pembangunan).

Fakulti Komputeran komited untuk terus menjadi nadi penggerak transformasi digital UMPSA!

Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran

{gallery}2026/nc-visit{/gallery}

Penganjuran Program Fakulti@Institusi oleh Fakulti Komputeran dan Pusat Sains Matematik UMPSA di Kolej Matrikulasi Pahang

Penganjuran Program Fakulti@Institusi oleh Fakulti Komputeran dan Pusat Sains Matematik UMPSA di Kolej Matrikulasi Pahang

GAMBANG, 13 Disember 2025 – Fakulti Komputeran (FK) dengan kerjasama Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan program Fakulti@Institusi> bertempat Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh). Program ini telah menarik seramai 650 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Pahang

Program yang berlangsung dari jam 8:00 pagi sehingga 5:00 petang ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para peserta mengenai bidang komputeran dan bidang sains matematik serta turut memperkenalkan bidang pengajian lain yang ditawarkan oleh UMPSA. Selain itu, ia menjadi platform bagi pensyarah dan fasilitator untuk berkongsi hala tuju kerjaya dan pengalaman kehidupan di menara gading kepada pelajar matrikulasi ini.=

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Timbalan Pengarah KMPh, Encik Mohd Riedznan bin Sutrisno, diikuti oleh ucapan daripada Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) Pusat Sains Matematik, Dr. Norhafizah binti Md Sarif.

Antara pengisian utama program termasuklah:

  • Perkongsian Ilmu: Slot bertajuk "Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Masa Kini" yang disampaikan oleh Ts. Aziman bin Abdullah.
  • Taklimat Prasiswazah PSM: Penerangan mengenai syarat kemasukan, laluan terus, dan laluan TVET bagi program Sains Data (BSD) oleh Dr. Adam Shariff bin Adli Aminuddin.
  • Sesi Kenali Fakulti Komputeran: Taklimat interaktif untuk menarik minat pelajar menyambung pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan komputeran oleh Ts. Aziman bin Abdullah.

Aktiviti Hands-on dan Pameran Inovasi

Bagi memberikan pengalaman praktikal, pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk para pelajar:

  • Fakulti Komputeran: Mengadakan bengkel LEGO Robotics, rekaan kreatif menggunakan Canva, pengenalan kepada Ethical AI, serta penghasilan video menggunakan kuasa AI.
  • Pusat Sains Matematik: Menganjurkan Sudoku Leaderboard Challenge, permainan matematik, dan pameran mini projek tahun akhir.

Para peserta juga berpeluang melawat reruai pameran yang mempamerkan projek penyelidikan inovatif seperti:

  • Aqua Drift: Simulasi perlumbaan menyelamatkan laut.
  • ARCHX & SecureVR: Penggunaan teknologi VR dalam pendidikan teknikal dan simulasi ancaman keselamatan.
  • Aplikasi Mudah Alih: Seperti Recycle Wise (integrasi AR & AI untuk kitar semula) dan BIO-AR (pembelajaran biologi melalui AR).

Penganjuran program ini diharapkan dapat menarik minat kumpulan sasaran untuk memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian tinggi mereka. Dengan bimbingan terus daripada pakar bidang, pelajar Kolej Matrikulasi Pahang kini lebih bersedia untuk merancang masa depan akademik mereka dalam landskap teknologi yang kian mencabar.

Sumber: Encik Mohammad Ilzam Jamat, Pengurus Fakulti Komputeran

{gallery}2025/fk-matriks{/gallery}

DECSTAR 2025 Raikan Kecemerlangan Akademik dan Pengaktifan Pelajar Fakulti Komputeran

DECSTAR 2025 Raikan Kecemerlangan Akademik dan Pengaktifan Pelajar Fakulti Komputeran

PEKAN, 12 Disember 2025 – Program Recognition of Dean’s List Achievement (DECSTAR) 2025 telah berjaya dianjurkan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam. Program ini dianjurkan bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik serta menghargai penglibatan aktif pelajar Fakulti Komputeran dalam pelbagai bidang pembangunan diri.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Adzhar bin Kamaludin, yang menegaskan kepentingan keseimbangan antara pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.

Seramai 425 orang pelajar Fakulti Komputeran telah menerima pengiktirafan atas pencapaian akademik cemerlang melalui Anugerah Senarai Dekan. Penganjuran program ini turut melibatkan komitmen 35 orang ahli jawatankuasa pelaksana yang berperanan memastikan kelancaran dan kejayaan majlis.

Selain meraikan kecemerlangan akademik, DECSTAR 2025 turut memberikan pengiktirafan kepada Ikon Fakulti Komputeran merangkumi Ikon Keusahawanan, Ikon Kesukarelawan dan Ikon Kesukanan, serta Ikon Pelajar Fakulti Komputeran. Pengiktirafan ini bertujuan menghargai sumbangan serta pencapaian pelajar yang aktif dan cemerlang dalam bidang bukan akademik, sekali gus menjadi contoh dan inspirasi kepada warga fakulti.

Secara keseluruhannya, penganjuran DECSTAR 2025 membuktikan komitmen Fakulti Komputeran dalam menghargai pencapaian pelajar secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akademik malah dalam pembangunan kepimpinan, sahsiah dan keterlibatan sosial.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan DECSTAR 2025, seterusnya menjadikan program ini sebagai platform pengiktirafan yang berprestij dan bermakna.

Sumber: PETAKOM

{gallery}2025/decstar{/gallery}

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my