Official Website    

News & Gallery

Fakulti Komputeran Pamer Keunggulan Inovasi Pelajar Menerusi FYPro-Com Semester 1 Sesi 2025/2026

Fakulti Komputeran Pamer Keunggulan Inovasi Pelajar Menerusi FYPro-Com Semester 1 Sesi 2025/2026

PEKAN, 22 Januari 2026 – Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi membuktikan komitmen dalam melahirkan graduan teknokrat yang berdaya saing menerusi penganjuran Karnival Projek Tahun Akhir (FYPRO-COM) yang berlangsung dengan jayanya bermula 19 hingga 22 Januari 2026.

Program semester ini merupakan platform strategik bagi penilaian kursus Projek Sarjana Muda (PSM I & II) dan Projek Tahun Akhir (PTA I & II), melibatkan penyertaan seramai 464 pelajar. Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan akademik, malah bertindak sebagai medan untuk para pelajar menterjemahkan hasil penyelidikan dan kreativiti mereka kepada solusi praktikal bagi menangani cabaran dunia teknologi sebenar.

Program kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran panel penilai daripada pihak industri yang dilantik khas untuk menilai 24 projek terbaik yang telah disaring. Sesi penilaian ini memberikan nilai tambah yang signifikan melalui maklum balas profesional serta perkongsian perspektif industri terkini.

Barisan panel industri yang terlibat termasuk wakil daripada syarikat terkemuka seperti BAE Systems Digital Intelligences (Malaysia), ATD Solutions Sdn Bhd, DXC Technology, Nilecraft Global Sdn Bhd, Augmented Innovation Sdn. Bhd., EDA Solutions Technologies Sdn. Bhd., OpenApps Sdn. Bhd. dan Kaneka Malaysia Sdn Bhd.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian anugerah kepada projek-projek yang mempamerkan kualiti luar biasa. Sebanyak enam (6) projek berjaya merangkul Pingat Emas, 12 projek menerima Pingat Perak, dan enam (6) projek dianugerahkan Pingat Gangsa.

Anugerah utama, ‘Best of The Best’ telah dimenangi oleh saudari Syahirah binti Abdul Hamid (CA22047) daripada Program Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian. Di bawah seliaan Dr. Syahrizal Azmir bin Md. Sharif, beliau mempertaruhkan projek bertajuk "SENTRA: Offline Password Manager" yang mendapat pujian tinggi daripada panel juri.

Selain sesi penilaian, program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu buat pelajar junior dan pelawat dari fakulti lain. Pameran teknologi yang meliputi bidang Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Rangkaian Komputer telah berjaya menyuntik semangat inovasi dalam kalangan warga kampus.

Sumber: Unit Pentadbiran Akademik Fakulti Komputeran

{gallery}2026/fypro-jan2026{/gallery}

mohe white ump white
mygovernment
madict header
Logo PDTI
— Contact

Faculty of Computing
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
26600 Pekan, Pahang

+609 431 5011 (General Line)
+609 431 5071 (Academic Line)
fk@umpsa.edu.my