Larian Amal UMPSA 2025 : Zombie Quest Challenge Berjaya Mengumpul RM91,390 untuk Kebajikan dan Pembangunan Pelajar UMPSA
PEKAN, 31 Mei 2025 – Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah memeriahkan acara Larian Amal UMPSA 2025: Zombie Quest Challenge yang berlangsung dengan penuh semangat dan keceriaan di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar, UMPSA Pekan. Program amal ini berjaya mengumpul dana berjumlah RM91,390, yang akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Kebajikan Pelajar UMPSA.
Dana yang diperoleh daripada larian amal ini akan dimanfaatkan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan penting kepada pelajar, khususnya golongan B40 yang mewakili lebih daripada 70% daripada keseluruhan populasi pelajar di UMPSA. Bantuan tersebut meliputi keperluan harian, sokongan akademik, bantuan kecemasan, dan pembangunan sahsiah yang menyeluruh, demi memastikan kesejahteraan dan kejayaan pelajar terjamin tanpa halangan kewangan yang membebankan.
Majlis penutupan program yang meriah ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Mohammad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program seperti ini merupakan bukti kukuh semangat perpaduan dan kepedulian tinggi dalam kalangan warga kampus, yang bukan sahaja mementingkan prestasi akademik tetapi juga kebajikan dan kesejahteraan bersama.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ketua Pegawai Operasi UMPSA; Datin Nur Sharmila binti Shaheen, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA; Encik Mohd Jamil Bin Jaafar, Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA; Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, Dekan Fakulti Komputeran,barisan pengurusan universiti dan Fakulti Komputeran serta rakan strategik industri yang menyokong penuh inisiatif ini.
Program amal ini merupakan anjuran bersama antara Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) dan Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA, yang mendapat sokongan daripada pelbagai jabatan dan pihak universiti. Kejayaan program ini turut bergantung kepada dedikasi dan komitmen tinggi daripada jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai fakulti yang bertanggungjawab merangka, mengurus dan memastikan kelancaran acara daripada peringkat awal sehingga penutupan.
Kesemua dana yang dikumpulkan akan terus digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif kebajikan lain yang berterusan di kampus, termasuk program bantuan kecemasan, sokongan sosial dan pembangunan sahsiah pelajar. Usaha ini selaras dengan visi UMPSA untuk membina sebuah komuniti kampus yang inklusif, prihatin, dan berdaya tahan, di mana setiap pelajar mendapat peluang yang adil untuk berkembang dan berjaya.
UMPSA berharap agar kejayaan acara ini dapat menjadi titik tolak kepada penganjuran program-program amal yang lebih besar dan berimpak tinggi pada masa hadapan, bagi memupuk budaya kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Sumber: PETAKOM